Sumpah Syed Saddiq

0
618
Kredit foto: Instagram Syed Saddiq

“WALLAHI, Wabillahi, Watallahi. Allah SWT sebagai bukti saya di sini,” kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata demikian selepas diasak ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mahu beliau bertanggungjawab termasuk ‘meletak jawatan’ sekiranya berlaku salah guna kuasa atau penyelewengan berhubung tender kepada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Melaka, Selangor dan Perlis.

Menurutnya, beliau bersedia meletakkan jawatan jika wujud salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pemberian tender berkenaan.

“Kalau ada salah guna kuasa, penyelewengan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan ini salah guna kuasa, saya jadi orang pertama yang letak jawatan.

“Saya tak takut… saya tidak takut dalam bab ini. Saya boleh namakan satu persatu tender sebelum ini dilakukan melalui rundingan terus dan limited tender (tender terhad)… projek terbengkalai… puluhan juta dibazirkan dan kontrak pergi kepada rakan-rakan sejawat dalam UMNO Bahagian. Saya boleh buktikan,” katanya pada sesi penggulungan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 kementeriannya di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) dan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang mahu Syed Saddiq memberi pencerahan berhubung isu tender terbuka makanan bermasak kepada tiga IKBN kepada sebuah syarikat yang sama.

Jalaluddin mempersoalkan kenapa kontrak itu diberikan kepada syarikat tertentu apabila lebih 6,000 syarikat Bumiputera layak untuk mengendalikan perniagaan makanan di institut berkenaan.

“Saya juga mempersoalkan kenapa syarikat beralamat di Serdang dapat kontrak pembekalan makanan bermasak di tiga negeri berlainan,” katanya.

Syed Saddiq berkata, beliau menyifatkan tuduhan salah guna dan penyelewengan dalam pemberian tender itu sebagai berniat jahat.

“Zaman di mana menteri mengagihkan kontrak telah pun ditamatkan. Semua tender perlu melalui sistem e-perolehan dan selepas itu dilakukan menerusi tender terbuka.

“Semua kata (dakwa) ini (tender IKBN) dilakukan secara rundingan terus atau tender terhad tidak betul sama sekali. Agak sukar tender ini disalahgunakan,” katanya.

Katanya, beliau juga sudah mengarahkan pegawainya untuk membuat laporan kepada SPRM supaya tuduhan itu disiasat sampai ke ‘lubang cacing’.

Syed Saddiq berkata, soal penganugerahan tender bukan di bawahnya dan bukan bidang kuasanya untuk menentukan syarikat mana layak dan tidak layak.

 

Kredit: Harian Metro

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Viwanita

Like Page Kami Juga Di Facebook Viwanita

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here